Rabu, 12 Oktober 2011

Pejuangan Sejati

Dulu kita bebas mengkritik
Siapa saja apa saja
Semua orang tak kena
Hanya kita yang mulia

Kini kita diberi Allah amanah
Untuk kotakan apa yang kita katakan
Dengan kerajaan dan jenteranya
Bola kini di kaki kita

Setelah tiga tahun memerintah
Ya, banyak benda telah kita betulkan
Banyak janji telah kita tunaikan
Rakyat rasa diraikan

Cuma kita sentiasa mesti muhasabah
Supaya kita tidak cepat lupa diri:

Kepada pimpinan
Jangan lupa akar umbi
Jangan lupa teman perintis perjuangan
Dari umbi anda diangkat menjadi 'Baiduri'
Laksanakan amanah dengan jujur dan ikhlas

Akar umbi pun kena kawal diri
Jangan impi semua untuk diri sendiri
Jangan minta suatu yang anda tak layak
Jangan gertak kerana tak dapat habuan
Jangan tinggalkan medan kerana nampak peluang
Jangan lupa kawan yang lama berjuang
Jangan ulangi kesilapan silam

Kita kena terus bergerak ke hadapan
Ya, diakui banyak liku dan halangan
Tabahkan diri ikhlaskan hati
Jika kita kurang mampu tukarlah kepimpinan

Berundur tidak semestinya kalah
Senyap tidak bererti setuju
Berilah laluan kepada yang lebih baik
Agar perjuangan ini akan keberakatan

Kita ingin menjadi pejuang sejati
Yang berani menegur musuh dan teman
Bukan kerana dendam
Tetapi kerana kasih sayang

Kita semua adalah Khalifah
Cuma tidak semua berada dipuncak
Mungkin ada yang di tengah, di sisi dan di umbi
Ikut kelayakan diri

Jangan ada iri hati
Letak duduk kita diukur dari upaya ilmu
Nelayan tak mampu jadi 'pilot'
Doktor tidak mampu menjadi pak guard

Kita mesti berjiwa besar
Sentiasa bertasauf untuk sucikan hati
Untuk keberkatan perjuangan
Semoga diredhai

Sebenarnya kita impikan perjuagan yang suci
Kita mencari pejuang sejati

Khamis, 25 Mac 2010

Perbandingan kita dengan cucu-cicit Hitler dalam menangani masalah masyarakat

Saya tertarik dengan laporan AP dalam Utusan Malaysia keluaran Jumaat 19 Mac 2010 yang mengulas komen Censelor Jerman, Angela Merkel dalam menangani skandal seks gereja Katolik. Angela mengingatkan:
"Satu-satunya cara supaya masyarakat boleh menerimanya adalah dengan mengetahui segala yang berlaku"
"Jangan mengambil mudah masalah ini. Kami perlu berbincang tentang isu sensitif ini"
Komen Angela dibuat apabila pihak gereja dan Ketua Pope, Pope Benedict XVI menyepikan diri dari mengulas isu skandal tersebut apabila ia turut melibatkan sekolah lelaki Domspatzen yang dipimpin adik Pope sendiri, Rev. Geog Ratzinger.
Bagaimana pula tindakan kita dalam menangani masalah yang berbangkit masyarakat khususnya dalam menangani 'Ribut dari Qaryah' tempoh hari?
Ada yang menyepikan diri, ada yang takut, ada yang berani bercakap saja tapi tiada tindakan, ada yang mencari hukum dari kitab untuk menghalalkan diri supaya tidak berbuat apa-apa dan ada yang cuba menutup kes dengan membuat laporan polis terhadap gesaan supaya bertanya cerita sebenar dari empunya tubuh sendiri.
Ketika cucu-cicit Hitler telah meninggalkan cara Hitler dan Pope yakni dengan menutup setiap kes yang memalukan negara Jerman dan Kristian, masih adakah anak qaryah Pondok Upeh yang bertindak cara Hitler dan Pope? Bila nak berubah? Baik ke untuk masyarakat sikap sebegini? Tidak boleh ke setiap organisasi masyarakat seperti AJK JKKK, JKKKP, Pemuda Qaryah, AJK Qaryah duduk semeja dan berbincang untuk menyelesaikan setiap masalah masyarakat yang berbangkit secara bulanan?
Rupa-rupanya yang menghalang perpaduan antara kita bukan angkara campur tangan bangsa lain tetapi diri kita sendiri...kita tidak ada daya usaha berani. Kita terikat dengan arahan individu dan organisasi yang berkepentingan diri.

Isnin, 2 November 2009

YB vs BY

Mudahnya jadi YB
Kawasan hanya dilawat
Apabila ada orang besar melawat
Lepas itu YB pun lesap

Panggilan buat-buat tak jawab
Jemputan harap-harap tak dapat
Sebab itu semua susahkan YB
Nak turun kerap-kerap

Tinggallah YB di kota
Dengan kerjaya lawyer
Kekadang singgah di Parlimen
Sekadar tunjuk muka

Di kawasan hanya tinggal si mamak
Yang hanya mampu bercakap
Khidmat tak boleh diharap
Setiausaha yang ada pun sekerat-sekerat

Namun YB cukup gagah di Astro
Kritis ideanya vokal suaranya
Berlambak teorinya besar gagasannya
Terngangalah rakyat terpekaklah telinga
Terpesona dengan lagak YB muda

YB muda juga cukup bijak
Jika diselak Suara Keadilan muka mesti terpacak
Untuk publisiti beb! Demi pemilihan kelak
Harap-harap jadilah ketua pemuda pulak
Jiwa YB makin bergelegak

Apalah malang nasib rakyat
tersilap pilih pipit menjaga padi
terlanjur pangkah terlunjur parah
Dapat YB hampas pun tak dak

Jika begini keadaanya
Seperti keluar mulut buaya
Masuk mulut singa
Sama beb! Kita tetap ternganga.

Yang Berhormat dah jadi BuaYa

Selasa, 13 Oktober 2009

Memuliakan kepercayaan rakyat

Buat diriku dan semua, diharap dapat memuliakan setiap kepercayaan yang diberi. Buat manusia bergelar pemimpin atau YB, muliakan kepercayaan rakyat dengan khidmat yang terbaik & ikhlas. Anda tidak perlu gayat.Anda menang kerana sokongan rakyat.Sekiranya anda masih mentah, sedialah belajar dari orang tua yang matang & ikhlas. Anda jangan celupar dan lupa diri. Rajinlah bersama rakyat.Betul kehadiran anda ke rumah si mati tidak boleh menghidupkannya kembali tetapi memziahrahi si mati adalah amalan mulia dan disuruh agama.Juga betul setiap kenduri-kendara tetap berseri tanpa kehadiran anda tetapi ia akan lebih berseri dengan kehadiran anda. Benar anda tidak mahu ikut gaya politik lama tetapi gaya politik lama itu masih menjadi gaya politik rakyat. Raikanlah rakyat. Perubahan yang ingin dibawa mesti dinilai dengan tahap penerimaan rakyat. Janganlah terlalu berkira soal duit ringgit. Gaji & elaun yang anda dapat kerana undi rakyat. Kembalikanlah sebahagian kepada rakyat. Amanah ini sedang diperhati rakyat.Mungkin sokongan akan ditarik balik. Anda mungkin popular di media tetapi anda cukup busuk dibibir dan dihati rakyat.Perbaiki sebarang kelemahan. Kembalilah kepada Allah.Benar anda rajin meraikan Dato' Seri tetapi anda mesti lebih rajin meraikan rakyat.